mutakhir

Ajal hari pertama Ramadan

Oleh Khalid Latip

PEMETIK sayur yang juga orang kelainan upaya (OKU) maut selepas dirempuh kereta dalam kejadian di Kampung Tengah Daro di Mukah, hari ini.

Mangsa, Mohamad Said Brahim, 36, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Daro Deputi Superintendan Neil Baginda berkata, kejadian jam 11.45 pagi itu berlaku ketika mangsa cuba menyeberangi jalan berkenaan.

“Mangsa dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan pemandu kereta Toyota Vios tidak sempat mengelak,” katanya ketika dihubungi.

Neil berkata, mangsa dihantar ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut, manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (2) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Suhaimi Sepawi, 35, berkata keluarganya terkejut selepas dimaklumkan kejadian itu.

“Lebih menyedihkan kejadian itu berlaku pada hari pertama Ramadan, namun kami reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 10:00pm
d