mutakhir

Matrikulasi bantu Melayu ke IPTA

Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Irwan Shafrizan Ismail

SISTEM matrikulasi diwujudkan bagi membantu orang Melayu memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana ramai pelajar Melayu tidak mahu melalui Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM) untuk ke pengajian tinggi.

“Kami dapati orang Melayu tak mahu ambil STPM dan mereka tak boleh masuk universiti. Jadi kita buat pintu belakang untuk mereka...ia (Matrikulasi) diwujudkan sebagai pintu belakang untuk orang Melayu.

“Persoalan kini ramai golongan lain kata (pencapaian) mereka lebih baik tetapi tak boleh masuk matrikulasi.

“Jadi kita setuju untuk beri juga peluang kepada bukan Melayu. Idea untuk cuba meningkatkan (kemasukan) Melayu di universiti melalui matrikulasi terbatal kerana orang Cina dan India juga lalu pintu belakang, dan mereka tak puas hati,” katanya dalam temubual khas bersama media sempena Setahun Kerajaan Pakatan Harapan di bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Pada 29 April lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan penempatan ke Program Matrikulasi ditambah daripada 25,000 kepada 40,000.

Penambahan itu membolehkan penambahan tempat untuk pelajar bukan Melayu, pada masa sama mengekalkan kuota pengambilan pada tahap 90 peratus Bumiputera dan 10 peratus bukan Bumiputera.

Perkara itu menjadi isu selepas Senator S Ananthan yang juga Pengerusi MIC Kedah mendedahkan terdapat perbincangan hangat dalam kalangan netizen mengenai isu kuota matrikulasi itu sehingga ada pihak mengambil kesempatan dengan memainkan sentimen perkauman.

Perdana Menteri berkata, kerajaan berdepan dengan cabaran untuk memuaskan hati semua kaum di negara ini termasuk dalam isu kuota kemasukan ke matrikulasi kerana ada pihak sengaja cetus persepsi salah.

Beliau berkata, terdapat pihak yang sengaja memainkan isu itu sehingga mencetuskan persepsi bahawa kerajaan berpihak kepada orang Melayu sahaja.

“Perkara ini tidak pernah dibangkitkan sebelum ini tetapi ada orang sudah memainkan isu ini dan media melaporkannya sehingga orang berasakan bahawa kerajaan ini memihak kepada orang Melayu.

“Tetapi jika kamu tanya orang Melayu dan Muslim mereka akan beritahu kerajaan tidak beri perhatian kepada Islam dan kerajaan tidak mempertahankan Islam sehingga mereka buat demonstrasi di jalanan,”katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu memberikan perhatian kepada semua kaum di negara ini atau berisiko hilang sokongan pada pilihan raya.

“Kami harus beri perhatian kerana jika kami tidak beri perhatian, kami akan hilang sokongan daripada Melayu dan jika PH hilang sokongan kepada Melayu, kita akan kalah dan jika PH hilang sokongan kepada Cina kita juga akan kalah termasuk India yang boleh main peranan besar memastikan PH kalah jadi kita mesti berhati-hati,” katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2019 @ 10:18pm
d