mutakhir

Pak Wan masih belum puas

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KOTA BHARU: Biarpun usianya sudah mencecah 73 tahun, sama sekali tidak melunturkan semangat pengayuh basikal warga emas ini untuk terus mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Selepas empat kali mencatat rekod sebagai Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia, pada 2014, 2016, 2017 dan 2018, Wan Hashim Wan Mahmood atau lebih dikenali sebagai Pak Wan berhasrat membuat kelainan.

Kali ini, bapa enam anak, 20 cucu dan seorang cicit itu mahu mencipta nama sebagai warga emas terpantas mengayuh basikal secara solo mengelilingi Semenanjung Malaysia.

Wan Hashim berkata, dia menyasarkan berkayuh sejauh 2,200 kilometer (km) selama 15 hingga 20 hari hingga ke Selatan Thailand.

Katanya, mengikut perancangan, dia akan memulakan kayuhan dari negeri ini pada 22 Jun depan dan mengakhiri misinya seawal Julai depan.

“Saya akan bertolak dari negeri ini menuju ke Selatan Thailand dan masuk semula ke negara ini melalui Padang Besar, Perlis untuk meneruskan misi mengelilingi Semenanjung Malaysia.

“Kebiasaannya untuk jarak lebih 2,000 km memerlukan sehingga 30 hari dan saya nekad cuba untuk buat selama 15 hingga 20 hari.

“Rutin setiap hari ‘wajib’ berkayuh sejauh 150km dalam tempoh 12 jam supaya sasaran dicapai,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Azran Fitri Abdul Rahim.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 6:00am
d