mutakhir

Tutup kedai makan, pergi solat Tarawih

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SEMUA pengusaha kedai makan dan restoran di Kelantan diarah menghentikan operasi dari 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang Ramadan ini.

Arahan itu dikeluarkan menerusi satu surat kepada semua Ketua Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin semalam.

Berdasarkan surat arahan itu, langkah itu diambil untuk menghormati Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat Tarawih secara berjemaah di masjid dan surau.

Arahan berkuatkuasa serta merta itu meminta PBT mengarah pengusaha kedai makan dan restoran di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, ramai pihak meminta surat arahan yang mula tular di media sosial sejak semalam itu ditarik balik.

Ahli Jawatankuasa PAS, Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menerusi satu kenyataan di Facebook, berharap arahan itu ditarik balik.

“Saya ditunjukkan surat arahan ini selepas solat Tarawih. Selepas sahkan kebenarannya, saya dengan ini berharap dan berdoa agar arahan ini ditarik balik.

“Pada bulan penuh kelebihan ini, umat Islam adalah digalakkan menguruskan masa masing-masing dengan bijak dan berhikmah untuk melakukan ibadah khusus berpandukan sunnah al Rasul,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 9:06am
d