mutakhir

Bubur lambuk kambing jadi tarikan

Oleh Farah Suhaidah Othman

USIANYA sudah 74 tahun namun kudratnya masih kuat mengacau tujuh periuk bubur lambuk kambing di Masjid India Muslim, Jalan Seenivasagam, Ipoh.

Itulah rutin harian Mustafha Kamal Varisai Mohamad yang akan memasak hidangan wajib itu setiap kali Ramadan sejak 15 tahun lalu.

Mustafha Kamal berkata, dia bersama pembantu tukang masak, Jamal Muhamad Shaik Daud, 47, mula memasak pada 11 pagi selepas semua bahan masakan yang siap ditempah dihantar ke masjid itu setiap hari.

“Kos untuk membuat tujuh periuk bubur lambuk RM600 sehari dengan 80 kilogram (kg) beras digunakan setiap hari.

“Bagi setiap periuk, saya masukkan tiga kg daging kambing serta bahan lain seperti daun pudina, ketumbar, daun pandan dan bahan lain,” katanya.

Mustafha Kamal yang berasal dari Kedah berkata, setiap tahun daging kambing digunakan sebagai tarikan istimewa bubur lambuk masakannya.

“Bubur lambuk itu diedarkan kepada 1,500 orang bermula 4.45 petang setiap hari.

“Lebih daripada 75 peratus yang mengambil edaran bubur lambuk adalah orang Melayu dan mereka suka bubur lambuk kambing ini,” katanya.

Mustafha Kamal berkata, setiap kali Ramadan, dia dan pembantunya saja memasak bubur lambuk itu di dapur yang terletak di bahagian belakang masjid.

Katanya, dia akan terus menyumbangkan bakti memasak bubur lambuk di masjid berkenaan selagi khidmatnya diperlukan.

“Alhamdulillah pada usia begini saya masih lagi kuat untuk memasak malah akan terus memasak untuk masjid itu selagi khidmat saya diperlukan.

“Setakat ini biarlah kami berdua saja yang memasak kerana terlalu ramai nanti dikhuatiri mempengaruhi rasa bubur lambuk itu,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 10:58am
d