mutakhir

Kesan tikaman di perut, kepala mangsa

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

MAYAT lelaki yang ditemui di Sungai Kuyuh berhampiran Jalan Raya 1, Taman Serdang Jaya, Serdang, malam kelmarin, dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, hasil bedah siasat terdapat kesan tikaman di perut dan kepala mangsa.

“Bedah siasat mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia lebih dua hari sebelum mayatnya ditemui di sungai berkenaan.

“Kami percaya mangsa adalah warga asing selepas pemeriksaan mendapati tiada suntikan BCG pada lengan lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ismadi berkata, identiti mangsa dipercayai berusia lingkungan 30-an itu masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayatnya yang sudah kembung.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis mendapatkan bantuan daripada bomba untuk mengangkat mayat kira-kira jam 9 malam.

Ketika ditemui, mangsa berpakaian lengkap, namun tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada lelaki terbabit.

Berita berkaitan

Mayat ditemui terapung di sungai

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 2:47pm
d