mutakhir

Maut dibelasah kerana gambar bogel

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

AKIBAT ‘kantoi’ memiliki dan menyimpan gambar bogel isteri rakan sendiri, seorang lelaki maut dibelasah dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan jenayah Selangor Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 27 tahun itu maut dibelasah sekumpulan penyerang selepas suspek menemui gambar bogel isterinya di dalam telefon bimbit mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa merakam gambar bogel isteri rakannya ketika mandi dan menggunakannya untuk mengugut wanita berkenaan bagi mengikut kehendaknya jika tidak mahu ia disebarkan.

“Susulan ugutan diterima, wanita berkenaan kemudian memanggil mangsa supaya datang ke rumah.

“Ketika di rumah berkenaan, mangsa dipukul menggunakan rotan oleh empat suspek membabitkan tiga lelaki dan seorang wanita susulan penemuan gambar bogel dalam telefon bimbit miliknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Fadzil, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada lelaki mendakwa anaknya dipukul beberapa individu hingga tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan daripada Hospital Sungai Buloh yang dipanggil ke lokasi,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek termasuk pasangan suami isteri berkenaan berusia 26 tahun hingga 36 tahun ditahan pada hari kejadian.

Katanya, semua suspek ditahan reman tujuh hari hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 3:39pm
d