mutakhir

Gudang penyimpanan barang terbakar

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

“SAYA nampak asap hitam dan menyangka orang bakar tayar, tetapi apabila melihat dengan lebih dekat rupanya kilang ditinggalkan itu terbakar,” kata saksi kebakaran, Thunga Bidya, 37.

Dia yang juga pengawal keselamatan warga Nepal di kawasan berkenaan berkata, kilang di Jalan Subang 4, USJ 1, Subang Jaya itu kini dijadikan gudang untuk menyimpan pelbagai peralatan.

“Saya memberitahu orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum mereka menghubungi bomba.

“Kawasan kilang berkenaan kebanyakannya dijadikan stor meletakkan pelbagai peralatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon Petaling Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Anuar Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.56 pagi sebelum lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Petaling Jaya dan Puchong digerakkan ke lokasi.

Beliau berkata, gudang itu menempatkan pelbagai peralatan dan ketika kejadian tiada pekerja di tempat kejadian.

“Setiba di lokasi pihak bomba melakukan pemadaman dan api berjaya dikawal kira-kira setengah jam kemudian.

“Seramai 29 anggota termasuk pegawai terbabit dalam operasi pemadaman berkenaan.

“Siasatan awal mendapati api bermula dari bahagian tengah gudang berkenaan namun siasatan menyeluruh akan dijalankan pihak forensik,” katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Katanya, setakat ini gudang berkenaan didapati menempatkan bahan mudah terbakar seperti papan, peralatan pentas dan sebagainya.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 4:06pm
d