mutakhir

Sambung tradisi arwah bapa mentua

Oleh Nur Saliawati Salberi

“SELAGI diizinkan saya akan meneruskan tradisi arwah bapa mentua yang gemar bersedekah. Arwah tidak kira bulan Ramadan atau hari biasa, dia pasti akan bersedekah.

“Saya percaya pada setiap rezeki kami, terselit rezeki untuk orang lain juga,” kata Muhammad Nazli Zainul Abidin, 40, pengusaha restoran nasi beriani, di Padang Temu, Melaka.

Sempena hari pertama Ramadan semalam, restorannya menyediakan 300 keping murtabak diagihkan secara percuma kepada pelanggan, penduduk setempat dan rumah anak yatim.

Menurutnya, dia dan keluarga bersyukur kerana masih berpeluang bersedekah meskipun bapa mentuanya iaitu pengasas Restoran Nasi Beriani Haji Tamby meninggal dunia Disember tahun lalu.

“Alhamdulillah, ini tahun ke 10 kami anjurkan aktiviti seumpama ini. Tahun lalu kami buat hebahan menerusi media sosial tapi kali ini tidak berbuat demikian.

“Kami kasihan melihat orang ramai beratur panjang dan menunggu lama dalam cuaca panas semata-mata mahu dapatkan murtabak.

“Jadi tahun ini kalau ada yang singgah kami sedekahkan saja murtabak yang sudah siap dimasak,” katanya.

Katanya, meskipun ada pelanggan singgah untuk membeli murtabak berkenaan dia tetap memberikannya secara percuma kerana sudah berniat untuk bersedekah.

“Selain meraikan pelanggan dengan cara tersendiri, secara tidak langsung kami mahu mencari keberkatan Ramadan.

“Apabila amalan ini dilakukan sejak sekian lama pastinya sukar atau berasa tidak lengkap jika tidak diteruskan,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 4:34pm
d