mutakhir

KXP penting untuk industri pelancongan

Oleh Nur Lela Zulkipli

PEMBINAAN Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Kedah bernilai RM1.6 bilion disifatkan adalah sebagai projek terpenting bagi industri pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kedudukan lapangan terbang berkenaan yang terletak di sebelah utara negara dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong asing khususnya daripada Thailand.

“Ramai pelancong dari Thailand akan masuk ke negara melalui Kedah. Ini satu laluan kepada pelancong untuk datang ke sini.

“Bagaimanapun, saya tiada statistik jumlah pelancong yang akan menggunakan KXP buat masa ini,” katanya.

Mohamaddin berkata demikian bagi mengulas lanjut mengenai Projek KXP kepada industri pelancongan negara selepas melancarkan Bandar Pelancongan Malaysia (MTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan tujuh projek dan program berimpak tinggi di Kedah bernilai lebih RM3.6 bilion termasuk KXP yang membabitkan pelaburan luar berjumlah RM1.6 bilion.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini menegaskan bahawa wilayah utara memerlukan lapangan terbang antarabangsa kedua bagi menampung permintaan industri khususnya di selatan Kedah dan Wilayah Koridor Utara.

Pembinaan KXP itu yang dibiayai sepenuhnya pihak swasta itu tidak akan menjejaskan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 4:37pm
d