mutakhir

Naya betul...

Oleh Zuliaty Zulkiffi

KEGEMBIRAAN wanita yang baru dua hari bekerja mencari duit raya bertukar sebaliknya apabila dia dimaklumkan premis tempat kerjanya menjalankan kegiatan menjual tambah nilai judi dalam talian.

Kegiatan premis berselindung di sebalik kedai menjual pakaian terpakai dan tambah nilai telefon bimbit di rumah kedai Taman Wira Mergong, Alor Setar itu terbongkar selepas polis menyerbu premis itu pada 11 pagi hari ini.

Wanita berusia 21 tahun berasal dari Guar Cempedak itu mendakwa ditawarkan bekerja di situ oleh kenalannya dengan gaji RM70 sehari untuk mencari wang bagi menyambut Aidilfitri, namun akhirnya dia dicekup polis untuk membantu siasatan kerana terbabit dengan kegiatan judi dalam talian.

Turut ditahan, seorang lelaki berusia 24 tahun yang juga pekerja di premis itu.

Operasi dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang diketuai Inspektor Darlveen Singh dan dibantu kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, ketika serbuan dilakukan premis itu beroperasi seperti biasa dan dua pekerja terbabit berada di bahagian dalam premis berkenaan.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati premis itu baru beroperasi dengan menjual tambah nilai judi dalam talian sejak tiga minggu lalu dan pernah diserbu kali pertama ketika itu.

“Kedua-dua mereka ditahan untuk membantu siasatan.

“Operasi hari ini tertumpu di empat lokasi iaitu dua di Kota Setar, satu di Pekan Langgar dan satu di Kuala Kedah,” katanya, hari ini.

Dalam serbuan berasingan, sebuah premis menjual burung di Pekan Langgar diserbu pada 12 tengah hari kerana disyaki terbabit menjual tambah nilai judi dalam talian.

Ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki dipercayai pelanggan sempat melarikan diri dengan menunggang motosikal sebaik melihat kehadiran polis.

“Hasil pemeriksaan mendapati, premis itu dipercayai mencuri bekalan elektrik dari kawasan berhampiran disebabkan ia pernah dipotong bekalan elektrik tahun lalu kerana menjalankan kegiatan sama.

“Berikutan itu, kakitangan TNB hari ini memotong penyambungan bekalan elektrik berkenaan untuk mengelak daripada beroperasi semula,” katanya.

Mohd Rozi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana menjalankan judi dalam talian dalam bangunan.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 4:50pm
d