mutakhir

Penjara 3 tahun lakukan kelucahan melampau

Oleh Abdul Rahemang Taiming

BEKAS pengetua sebuah madrasah dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Tawau atas tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap tiga pelajar bawah umur, tiga tahun lalu.

Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus membuat keputusan itu terhadap Maznan Omar, 37, selepas tertuduh didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan pada Jun 2016.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu secara berasingan bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap tiga pelajar lelaki berusia antara 14 dan 15 tahun di sebuah rumah di sini, antara 11 pagi hingga 10.20 malam pada Jun 2016.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut menolak permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap tertuduh.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung dengan tertuduh kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 7 Disember 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan, manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Acho yang hadir bagi pihak peguam Mohamad Abdul Karim.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 6:52pm
d