mutakhir

Rezeki Ramadan

Oleh Nor Farhani Che Ad

AWAL Ramadan memberi rahmat buat penduduk di sekitar Tanjung Dawai, Sungai Petani, apabila dikurniakan limpahan pelbagai jenis siput yang ditemui terdampar di sekitar pantai berdekatan.

Antara siput yang ditemui seperti siput kabung, siput paha ayam, siput sudu dan kerang sekali gus membuatkan lokasi berkenaan menjadi tumpuan pengunjung mengutip pelbagai jenis siput itu sejak Jumaat lalu.

Penduduk setempat, Mad Saad Mohd Nor, 65, berkata, fenomena itu disedari berlaku selepas kejadian ribut besar di kawasan berkenaan Khamis lalu.

Katanya, sejak itu, orang ramai dilihat mula mengunjungi pesisiran pantai itu, terutama petang.

“Fenomena ini bukanlah sesuatu yang asing buat kami penduduk sekitar biarpun timbul kebimbangan dalam kalangan pengunjung dari luar yang mengaitkan dengan kejadian bencana alam yang bakal berlaku.

“Tahun lalu, penduduk berpeluang mengutip kepah di kawasan pesisiran pantai, tahun ini pula kami diberikan rezeki dengan pelbagai jenis siput,” katanya.

Mad Saad berkata, ia juga membuka peluang rezeki kepada nelayan setempat yang ketika ini tidak dapat turun ke laut berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Nahar Ahmad, 72, berkata, dia memilih untuk mengutip siput kabung yang dilihat mempunyai jumlah yang luar biasa daripada jenis siput yang lain.

“Saya mula datang sejak semalam, dalam masa kurang dua jam, saya mampu mengutip lebih tujuh kilogram siput kabung tidak termasuk siput yang lain.

“Alhamdulillah, rezeki ini dijadikan juadah berbuka puasa buat kami anak beranak,” katanya.

Shamsudin Bakar, 67, berkata, dia yang dari Sungai Pial datang mengutip pelbagai jenis siput itu selepas diberitahu oleh penduduk berdekatan.

“Saya tahu perkara ini sejak awal lagi, namun, hari ini baru berkesempatan datang mengutip siput yang ada di sini.

“Proses mencari memang agak sukar sedikit memandang jumlahnya sudah semakin berkurangan disebabkan sudah beberapa hari orang datang kutip, namun masih ada rezeki buat saya bawa pulang untuk dijadikan juadah berbuka puasa pada hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2019 @ 10:52pm
d