mutakhir

Bil melambung, TNB jamin teliti aduan

Oleh Amir Mamat

TENAGA Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan akan meneliti aduan pengguna berhubung isu bil semasa yang didakwa tinggi selepas pemasangan meter pintar.

Dalam satu kenyataan lewat petang hari ini, TNB Melaka menyatakan, pihaknya sedia maklum isu terbabit dan aduan lain dihadapi segelintir pengguna meter pintar di Melaka seperti yang tular di Facebook.

Sehubungan itu, pihak terbabit menasihatkan pengguna supaya tidak khuatir dengan keadaan itu kerana tiada sebarang pemotongan bekalan elektrik akan dibuat sementara aduan pengguna diperincikan.

TNB juga akan membuat semakan bagi setiap aduan yang diterima dengan kadar segera dan jika semakan mendapati terdapat lebihan caj berlaku ke atas bil pengguna, ia akan dikreditkan semula dalam bil seterusnya.

Pengguna meter pintar yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi TNB di talian khidmat pelanggannya di 1300-88-5454 atau mengunjungi pejabat TNB berhampiran.

Terdapat lima pejabat TNB boleh dikunjungi iaitu di Jalan Banda Kaba, Pekan Alor Gajah, Bandar Jasin, Merlimau dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Jalan Hang Tuah.

TNB turut memohon maaf di atas segala kesulitan yang dialami dan berjanji akan terus komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 12:15am
d