mutakhir

Polis ronda masjid, surau

Oleh Shahrinnahar Latib

POLIS mempergiatkan rondaan di sekitar kawasan masjid dan surau seluruh Kuantan dalam usaha mengekang kejadian jenayah ketika umat Islam melakukan solat sunat Tarawih.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya juga akan menempatkan lebih ramai anggota di kawasan itu bagi membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan individu tertentu mengambil kesempatan melarikan barangan berharga ketika umat Islam sedang beribadah.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan berlakunya kes kecurian motosikal dan pecah cermin kereta di kawasan masjid,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pemilik kereta juga diingatkan tidak meninggalkan barangan berharga dalam kenderaan ketika hendak menunaikan solat manakala pemilik motosikal dinasihatkan menggunakan kunci tambahan.

Dalam pada itu, pihaknya juga menambah lagi kehadiran polis di bazar Ramadan untuk membantu membantu mengekang jenayah di kawasan tumpuan orang ramai itu.

“Selain itu, polis trafik turut akan memantau trafik di sekitar bazar Ramadan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang selalu berlaku di kawasan itu.

“Saya harapkan orang ramai yang ingin membeli juadah berbuka di bazar supaya meletakkan kenderaan mereka dengan berhemah supaya tidak menghalang laluan kenderaan lain.

“Kita tidak mahu kenderaan yang menghalang jalan ini boleh menyebabkan berlakunya kesesakan di kawasan bazar sehingga mengganggu pengguna jalan yang lain,” katanya

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 11:30am
d