mutakhir

Ayam naik bas ekspres [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

EMPAT individu masing-masing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini selepas mengaku salah memindahkan 13 ekor ayam menggunakan bas ekspres tanpa kebenaran, tahun lalu.

Majistret Nurasidah A Rahman turut memerintahkan keempat-empat orang kena saman (OKS) itu dipenjara tiga minggu jika gagal membayar denda.

Semua OKS, Nik Norilham Muhamad @ Afandi, 41; Mohd Zulhilmi Amzar Zuhaimi, 27; Raja Al-Faisal Raja Azlan, 27, dan Fauzi Yazid, 47, didakwa memindahkan ayam berkenaan dengan sebuah bas ekspres tanpa memiliki perakuan kebenaran bertulis daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Johor.

Nik Norilham didakwa memindahkan tujuh ekor ayam hidup, Mohd Zulhilmi, empat ekor ayam mati manakala Raja Al-Faisal dan Fauzi masing-masing seekor ayam hidup.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Platform B, Terminal Larkin Sentral, Jalan Garuda, Johor Bahru yang mana ia adalah kawasan diwartakan sebagai Kawasan Kawalan Penyakit Flu Unggas (Selesema Burung) Negeri Johor 2005.

Bagi perbuatan yang dilakukan 10.10 pagi, 7 April 2018, mereka didakwa mengikut Perenggan (a) Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Flu Unggas Negeri Johor 2005 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa JPV Negeri Johor, Mohd Faiz Ajiss berkata, semua ayam jantan terbabit diletakkan di tempat penyimpanan barang bas ekspres yang bergerak dari Kelantan ke Johor Bahru.

Katanya, perbuatan semua OKS perlu dipandang serius memandangkan Kelantan dan Terengganu turut diwartakan sebagai kawasan kawalan penyakit selesema burung.

“Ketika itu, negeri ini termasuk Johor adalah berisiko penyebaran penyakit ini, bukan itu saja, ia turut memberi risiko kepada negeri lain yang dilalui bas berkenaan sepanjang perjalanan,” katanya.

Sebelum hukuman dijatuhkan, semua OKS memohon denda ringan dengan masing-masing memberi alasan, Nik Norilham yang bekerja kampung menanggung empat anak bersekolah selain mendakwa menternak ayam untuk dijadikan baka.

Mohd Zulhilmi pula merayu denda ringan dikenakan kerana hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit dengan pendapatan harian RM30 dan mempunyai tanggungan manakala Raja Al-Faisal yang tidak bekerja menanggung tiga anak serta isteri yang sedang hamil.

Bagi Fauzi pula yang juga seorang ahli bomba merayu diberikan denda ringan dengan alasan menanggung anak masih bersekolah.

Selepas menjatuhkan hukuman, mahkamah turut memerintahkan OKS membayar kos penjagaan dan rawatan terhadap ayam hidup kepada JPV Negeri Johor sepanjang tempoh haiwan itu dirampas dengan Nik Norilham perlu membayar RM716.04 dan Raja Al-Faisal serta Fauzi masing-masing RM109.51.

Barang rampasan itu juga akan diserahkan kepada JPV Negeri Johor untuk tindakan pelupusan.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 12:54pm
d