mutakhir

Tutup kedai makan: Pemimpin PAS berbalah

Oleh Hairulazim Mahmud

“SAYA berharap dan berdoa agar arahan ini ditarik balik,” kata Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang tidak bersetuju dengan arahan Kerajaan Kelantan supaya peniaga menutup perniagaan bermula 8.30 hingga 10 malam sepanjang Ramadan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, arahan berkenaan mengganggu keberkatan bulan puasa.

Tegasnya, kebenaran dan keberkatan bulan ini dalam soal mencari rezeki yang halal serta baik wajar digalakkan bukan dihalang.

“Pada bulan penuh kelebihan ini, umat Islam adalah digalakkan menguruskan masa masing-masing dengan bijak dan berhikmah untuk melakukan ibadah khusus berpandukan sunnah Rasul SAW,” katanya dalam status Facebook peribadinya hari ini.

Beliau merujuk kepada surat arahan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan melalui pada 6 Mei 2019 yang berkuat serta-merta.

Notis yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin itu mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan arahan kepada pengusaha kedai makan dan restoran di kawasan masing-masing supaya menutup premis pada waktu yang ditetapkan itu.

Kandungan surat itu memaklumkan supaya semua pengusaha kedai makan dan restoran diarah menutup atau menghentikan sementara operasi dari 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang Ramadan.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad berpendapat, keputusan kerajaan negeri itu selaras dengan hadis Rasullullah SAW yang disebut Nik Mohamad Abduh.

“Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Maajah iaitu barang siapa yang diharamkan oleh Allah dengan keberkatan dan kelebihan di bulan Ramadan, maka sesungguhnya dia telah diharamkan daripada segala kebaikan yang disebut YB (Yang Berhormat) Nik Abduh itu adalah menepati dengan apa yang dilakukan Kelantan,” katanya dalam laman Facebooknya sebagai membalas kritikan Nik Mohamad Abduh itu.

Beliau yang juga menantu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, maksud kebaikan di dalam hadis itu ialah kebaikan malam ‘lailatul qadar’, bukan kebaikan keuntungan perniagaan yang halal.

“Melegakan mereka yang mementingkan ibadah sama ada mereka peniaga atau pembeli juga adalah kebaikan berikutan arahan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 3:09pm
d