mutakhir

Penumpang maut pemandu parah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

WANITA maut selepas lori dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah lori cat di Kilometer 63.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara hari ini.

Mangsa meninggal dunia dikenali sebagai Zulyana Zakaria, 22, penumpang lori perkhidmatan pembersihan manakala pemandunya, Nurain Ismail, 24, pula parah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Emran Ezani berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.44 pagi.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang lori perkhidmatan pembersihan tersepit di tempat duduk masing-masing.

“Pemandu yang cedera di kaki terus diberi rawatan awal oleh anggota Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) selepas dia dikeluarkan.

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang,” katanya.

Muhammad Ezzat berkata, mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 3:43pm
d