mutakhir

70 PPA pantau kaki ponteng puasa

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menggerakkan 70 pegawai penguat kuasa agama (PPA) dalam Operasi Gempur Ramadan di 10 daerah di negeri ini, bermula semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono berkata, operasi penguatkuasaan itu bertujuan melaksanakan pemantauan terhadap individu ponteng puasa dan aktiviti kutip derma tanpa tauliah.

“Saya sudah mengeluarkan arahan kepada semua PPA di setiap daerah seluruh negeri ini untuk menggerakkan operasi di siang hari sepanjang Ramadan.

“Tindakan tegas itu dilaksanakan kepada mereka yang ingkar atau sengaja tidak berpuasa dan makan di tempat awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata peniaga atau premis perniagaan yang membenarkan pelanggan beragama Islam makan pada waktu siang juga berdepan tindakan.

Halid berkata, mereka ditahan kerana tidak berpuasa disiasat mengikut Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997, manakala, peniaga disiasat mengikut Seksyen 15(a) enakmen sama.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau seterusnya, boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 4:02pm
d