mutakhir

11 laporan polis diterima

Oleh Fardy Bungga

POLIS menerima 11 laporan membabitkan pelbagai insiden sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan sejak 27 April lalu.

Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan tiada insiden besar dilaporkan berlaku sepanjang tempoh berkempen.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, semua laporan berkenaan diterima daripada pihak bertanding dan lima daripadanya sudah dibuka kertas siasatan.

Katanya, satu kes dilaporkan disiasat mengikut Seksyen 24(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana membuat kempen tanpa permit.

“Dua lagi kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan membabitkan perbuatan khianat kerana merosakkan poster dan banting parti yang bertanding.

“Dua lagi kes disiasat mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan Seksyen 504 akta sama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini.

Omar berkata, semua siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya namun diputuskan sebagai tiada tindakan perlu diambil.

“Oleh demikian, saya harap keadaan ini berterusan dan tiada insiden tidak diingini berlaku sehingga PRK selesai,” katanya.

Omar berkata, pihaknya merancang menempatkan lebih 1,000 anggota di lokasi pengundian bagi memastikan proses PRK berjalan lancar pada hari mengundi Sabtu ini.

Beliau turut menasihatkan setiap calon supaya mematuhi peraturan dan undang-undang serta syarat dalam permit yang diluluskan.

PRK Sandakan diadakan selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia akibat serangan jantung 28 Mac lalu.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 4:23pm
d