mutakhir

Tiga pengarah syarikat pelaburan didakwa

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

TIGA pengarah syarikat pelaburan termasuk wanita bergelar Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan mempromosi dan menjalankan perniagaan tanpa lesen sah Skim Piramid tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu, Datuk Seri Lai Chai Shuang, 49, Wong Tat Foong, 40, dan Chai Ling Mooi, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, Lai selaku Pengarah Syarikat Mon Space (M) Sdn Bhd didakwa menyebabkan supaya dipromosikan skim piramid Monspace.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen Seksyen 27B, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27B(2)(b) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman hukuman denda tidak kurang RM500,000 dan maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Lai selaku pengarah syarikat Monspacemall Sdn Bhd didakwa menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa memegang suatu lesen sah dikeluarkan Pengawal Jualan Langsung dibawah Seksyen 6 Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(2)(b) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan masing-masing di premis No 2 dan 22A, Jalan Jalil 1, Bumi Bukit Jalil, Lebuhraya Sungai Besi-Puchong antara 14 Jun 2017 dan 17 Julai 2017 serta 19 Julai 2017.

Sementara itu, Wong selaku pengarah syarikat Monspacemall Sdn Bhd dan Chai selaku pengarah Syarikat Mon Space (M) Sdn Bhd masing-masing didakwa menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen yang sah dan mempromosi skim piramid di tempat dan masa yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tan Chiew King, menawarkan ikat jamin masing-masing RM1 juta terhadap Lai, RM50,000 terhadap Wong dan RM500,000 terhadap Chai.

Bagaimanapun peguam Andy Yong Kim Seng, mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jaminan terhadap anak guamnya dikurangkan atas alasan mereka mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan Lai diikat jamin RM400,000, Wong RM20,000 dan Chai RM200,000 selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Jun ini.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 4:29pm
d