mutakhir

RM27j dipindah ke akaun Najib

Oleh Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah

SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini bahawa sejumlah RM27 juta dipindahkan ke dalam akaun bank milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada akaun syarikat Permai Binaraya Sdn Bhd.

Saksi ke-31, Penolong Pengurus Maybank (Cawangan Kuala Lumpur) Halijah Abdul Wahab, 46, berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa dihadapi Najib.

Beliau mengesahkan kemasukan wang itu berdasarkan surat arahan diterima daripada Permai Binaraya melalui faks pada 8 Julai 2014.

Menurutnya surat arahan rasmi bagi pemindahan wang itu diterima pada 10 Julai 2014 dan perkara itu disahkan melalui penyata akaun syarikat itu bagi tempoh Julai 2014 hingga Disember 2015.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Kho Kheng Fuei, Halijah mengesahkan terdapat kemasukan wang ke dalam akaun SRC International Sdn Bhd berjumlah RM170 juta oleh dua syarikat pembinaan itu.

“Saya mengesahkan RM140 juta dipindahkan daripada akaun Putra Perdana Construction ke dalam SRC International pada 12 Disember 2014.

“Saya mengesahkan sebanyak RM30 juta lagi dipindahkan daripada syarikat Permai Binaraya Sdn Bhd ke dalam akaun SRC pada 7 Januari 2015,” katanya.

Permai Binaraya Sdn Bhd adalah anak syarikat Putra Perdana Development Sdn Bhd manakala Putra Perdana Construction adalah anak syarikat Putrajaya Perdana Berhad.

Terdahulu, Halijah mengesahkan bahawa terdapat pemindahan wang daripada Putra Perdana Construction Sdn Bhd kepada Permai Binaraya pada 8 Julai 2014 berjumlah RM34,999,991.

Sementara itu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memohon mahkamah untuk membenarkan saksi membawa dokumen berhubung tiga syarikat itu, pagi esok.

Beliau memohon supaya Halijah membawa contoh tandatangan penandatangan untuk tiga syarikat iaitu Putra Perdana Construction, Putra Perdana Development dan Permai Binaraya bagi pemeriksaan balas oleh pasukan pembelaan.

Menurutnya, dokumen itu diperlukan bagi membuktikan bahawa wujud persamaan antara penandatangan bagi ketiga-tiga syarikat itu.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan itu dan menetapkan perbicaraan bermula pada 8.45 pagi esok.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 5:00pm
d