mutakhir

'Mujur tak terlajak ke dalam perpustakaan'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PEMANDU lori pasir maut tersepit selepas kenderaan berat dikendalikan terbabas dan terbalik di perkarangan Perpustakaan Desa Lenga, Batu 23, Jalan Lenga-Pagoh, Muar, hari ini.

Dalam kemalangan 11.40 pagi Zairudin Ibrahim, 42, memandu lori pasir tanpa muatan parah di kepala dan disahkan maut di lokasi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, hasil siasatan awal di lokasi kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu dari arah Lenga ke Pagoh hilang kawalan, lalu terbabas ke sebelah kanan jalan.

“Kenderaan itu kemudian terbalik dan terkena bahagian tingkap Perpustakaan Desa Lenga.

“Ketika kejadian, tiada orang awam dalam perpustakaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat pemandu lori itu dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat.

Katanya lori berkenaan pula dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) Muar untuk pemeriksaan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir Abdul Rahman Jaafar berkata, tujuh anggota terbabit dalam operasi mengeluarkan mangsa tersepit.

Abdul Rahman berkata, pihaknya mengambil masa selama tujuh minit bagi mengeluarkan mangsa dari dalam lori 18 tan itu.

“Mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi kemalangan.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 5:22pm
d