mutakhir

Lelaki OKU tak serik ditangkap

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

WALAUPUN pernah dipenjara tiga bulan kerana memiliki dadah, lelaki orang kelainan upaya (OKU) masih tidak serik apabila dia sekali lagi ditangkap kerana terbabit penagihan dadah.

Tukang sapu berusia 30 tahun itu yang mengalami masalah lembam ditahan di rumahnya oleh sepasukan pegawai dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Kampung Apal, Jertih 9.30 pagi semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Besut, Norhafizza Mat Zin berkata, pihaknya yang menerima aduan mengenai kegiatan suspek membuat serbuan ke rumahnya dan berjaya menahan suspek.

“Berdasarkan maklumat daripada keluarga suspek, dia sering bermalam di rumah rakan dan pengaruh rakan dipercayai menjadi punca lelaki itu terjebak dalam kancah penagihan dadah.

“Walaupun kategori OKU, suspek berjaya menamatkan persekolahan dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hasil bekerja sebagai tukang kebun, wang gajinya RM450 sebulan habis dibelanjakan untuk membeli dadah.

“Suspek sebelum ini pernah ditangkap dan dipenjarakan tiga bulan selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap anak kedua daripada enam beradik itu mendapatinya positif Methamphetamine.

Katanya, suspek direman 14 hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983, Pindaan 1998.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Besut, Raja Nurshuzianna Syakila Raja Mamat.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 6:07pm
d