mutakhir

Imigresen cekup dalang pengeluaran PLKS

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI warganegara Myanmar yang juga dalang kegiatan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) ditahan dalam operasi di ibu negara, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Indera Dzaimee Daud berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan bersama seorang lagi rakan senegaranya yang dipercayai pelanggan.

“Sindiket itu didapati mengeluarkan PLKS secara tidak teratur dengan menggunakan kelulusan kuota pekerja asing palsu selain mengeluarkan surat Visa Dengan Rujukan (VDR) tidak teratur.

“Hasil risikan dilakukan mendapati sindiket itu dikesan mula bergiat aktif Februari lalu dengan mengenakan bayaran RM6,500 bagi permohonan baharu sektor perkhidmatan dan pembinaan.

“Sindiket itu turut didapati mengenakan bayaran RM5,500 bagi permohonan baharu lain-lain sektor termasuk Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu katanya bayaran RM2,350 dan tambahan RM600 dikenakan bagi permohonan lanjutan dan FOMENA,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ke atas lokasi yang dipercayai menjadi pusat operasi sindiket itu, pihaknya menemui dua set komputer, satu set komputer riba, 48 cop pelbagai syarikat, selain 213 pasport pelbagai warganegara dan wang tunai RM8,000.

Katanya, sebuah kenderaan milik anggota sindiket turut disita dalam operasi itu.

Menurutnya, tangkapan ke atas suspek pertama dilakukan mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966, manakala suspek kedua mengikut Seksyen 56(1)(A)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Jabatan Imigresen akan terus memburu sindiket atau individu yang terbabit dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 atau Akta Pasport 1966,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 8:24pm
d