mutakhir

Santuni pengusaha restoran hormati Ramadan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi Unit Penguatkuasaan Agama Cawangan Putrajaya melaksanakan aktiviti menyantuni dan sesi penerangan kepada pemilik dan pengusaha restoran di sekitar kawasan itu.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata, ia dijalankan di bawah Unit Pencegahan Jenayah Syariah JAWI selama tiga jam bermula 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Beliau berkata, sebanyak tujuh premis dikunjungi untuk sesi penerangan berhubung Seksyen 15, Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Akta 559) berkaitan peruntukan tidak menghormati Ramadan.

“Inisiatif ini diambil kerana kita tidak mahu ada yang memandang remeh ibadat puasa dan peniaga perlu memainkan peranan sepatutnya.

“Menerusi penerangan seperti ini, semua pihak akan ada kefahaman sama dan tidak melakukan kesalahan sehingga menjejaskan ibadat kita di bulan mulia ini,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Ajib berkata, pihaknya berpuas hati dengan maklum balas diterima daripada peniaga dan ia dapat dijadikan input berguna kepada JAWI untuk tampil dengan pelbagai aktiviti berkonsepkan RAHMAH yang sedang diaturkan.

Beliau berkata, selain sesi penerangan dan kunjungan, pihaknya mengedarkan poster penerangan mengenai Ramadan yang ditampal di premis terbabit.

Disiarkan pada: May 8, 2019 @ 9:15pm
d