mutakhir

Peniaga bazar kena kompaun

Oleh Asrol Awang

TINDAKAN tujuh peniaga makanan di bazar Ramadan Indera Sempurna, Kuantan berniaga tanpa lesen mengundang padah apabila mereka dikompaun RM250 seorang.

Dalam operasi dan pemantauan bahagian penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) itu kelmarin, mereka dikesan melanggar syarat ditetapkan itu ketika pemeriksaan di bazar Ramadan di bawah pentadbiran MPK.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, tindakan peniaga itu menyalahi syarat perniagaan iaitu perlu memiliki lesen sebelum menjalankan perniagaan.

“Berikutan itu, penguat kuasa MPK mengeluarkan kompaun RM250 terhadap setiap peniaga bagi memastikan mereka tidak lagi berniaga di bazar berkenaan,” katanya hari ini.

Sementara itu, pihaknya turut memberi amaran kepada peniaga yang didapati membuang air minuman yang tidak habis dijual ke dalam longkang di 35 lokasi bazar Ramadan di daerah itu.

“Jika mengulangi perbuatan sama, kompaun akan dikeluarkan untuk memastikan persekitaran bazar Ramadan bersih dan tidak mengundang bau busuk,” katanya.

Beliau berkata, 35 bazar Ramadan di bawah pentadbiran MPK diluluskan tahun ini membabitkan 1,953 peniaga termasuk 1,454 peniaga menjual makanan dan minuman.

Sehubungan itu katanya, semua peniaga perlu mematuhi syarat menggunakan bekas makanan berpenutup lut sinar, mementingkan kebersihan tempat berniaga dan persekitaran serta memakai penutup mulut ketika berniaga.

“MPK tegas memantau peniaga, khususnya mereka menjual makanan dan minuman yang beroperasi awal sebelum 3 petang untuk memastikan tiada pelanggaran syarat dilakukan,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 11:44am
d