mutakhir

Nyaris maut pokok kelapa hempap rumah

Oleh Safuri Kamarudin

EMPAT sekeluarga di Kampung Lela, Kuala Pegang, Baling nyaris maut apabila rumah mereka dihempap pokok kelapa dalam kejadian ribut petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, tiga kampung dalam Mukim Pulai dan Kupang, dilanda ribut menyebabkan kejadian pokok tumbang termasuk yang menghempap rumah penduduk.

Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Lela, Kampung Tanjung Luas dan dan Kamung Telok Pendiat.

Pegawai Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, ribut melanda selama kira-kira 30 minit menyebabkan banyak pokok tumbang.

Katanya, dalam kejadian di Kampung Lela itu empat sekeluarga terbabit sedang membuat persiapan juadah berbuka puasa.

"Mujur tidak ada sebarang kecederaan sebaliknya bahagian dapur mengalami kerosakan teruk termasuk perkakas dalam rumah berkenaan," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Katanya, anggota APM dikerahkan untuk membantu memotong pokok kelapa tumbang itu dan kerja selesai selepas waktu berbuka puasa semalam.

"Kebanyakan pokok kelapa di kampung itu sudah tua dan akarnya reput menyebabkan mudah tumbang apabila angin kencang.

"Saya sarankan penduduk supaya menebang pokok kelapa yang berada berhampiran dengan rumah mereka bagi mengelakkan kejadian buruk yang sama berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 12:09pm
d