mutakhir

Patah tulang hidung 'ditinju' suami

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Amran Yahya

SEORANG buruh yang baru dibebaskan dengan jaminan polis kerana disyaki mengambil dadah diberkas semula berikutan menumbuk muka isterinya hingga mangsa tidak sedarkan diri dalam kejadian di Terachi, Kuala Pilah, 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, terdahulu lelaki berusia 40 tahun itu ditahan malam kelmarin kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, bagi kesalahan itu suspek disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, ketika dalam tahanan suspek mendakwa berasa sakit di bahagian dada dan susulan itu dia dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), jam 12 tengah hari, semalam untuk diberikan rawatan.

“Atas faktor kesihatan suspek dibebaskan dengan jaminan polis. Sebaik pulang ke rumah di Terachi, suspek berselisih faham dengan isteri berusia 33 tahun tanpa sebab yang diketahui.

“Akibatnya, suspek menumbuk muka wanita itu hingga mangsa tidak sedarkan diri,” katanya hari ini.

Haslah berkata, jiran menyaksikan kejadian menghubungi polis dan mangsa kemudian dibawa ke HTAN untuk diberi rawatan.

“Pemeriksaan doktor mengesahkan wanita itu patah tulang hidung dan lebam mata kiri akibat ditumbuk.

“Kami mengenal pasti dua kesalahan dilakukan suspek iaitu terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan membelasah isteri,” katanya.

Jelasnya soal siasat menyaksikan suspek mengaku membelasah isterinya berikutan wanita itu kerap melawan cakapnya.

“Sebaik ditahan semula, suspek sekali lagi dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 2:48pm
d