mutakhir

Pertahan peraturan baru cermin gelap [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Pengangkutan menghormati pandangan polis terhadap peraturan baru cermin gelap namun mempertahankan pendirian untuk melaksanakannya.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook hari ini memanggil satu sidang media bagi mempertahankan pendirian kementeriannya seperti diumumkan dua hari lalu.

Peraturan baru itu mendapat pelbagai reaksi termasuk daripada orang awam dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menyifatkan peraturan itu menyukarkan tugas penguatkuasaan.

Anthony berkata, pihaknya berpendirian bahawa penetapan peraturan baru itu sudah mengambil kira pandangan semua pihak termasuk polis.

“Kami hormati pandangan mereka (polis) kerana mereka pakar dalam soal keselamatan dan risikan.

“Bagi memastikan soal penguatkuasaan berjalan lancar, Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Seri Shaharuddin Khalid akan bertemu dengan rakan sejawat di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bagi membincangkan perkara itu,” katanya.

Katanya, pihaknya menjelaskan bahawa peraturan baharu cermin gelap itu adalah di bawah bidang kuasa dan seliaan Kementerian Pengangkutan sepenuhnya.

Dalam pada itu, katanya, peraturan baharu itu turut mengambil kira rumusan dan maklum balas daripada bengkel khas mengenai peraturan cermin gelap yang diadakan pada Jun 2014.

Menurutnya, rumusan bengkel berkenaan untuk mengekalkan ketelusan cahaya nampak (VLT) bagi cermin hadapan dan sisi pemandu, masing-masing berkadar 70 peratus serta 50 peratus masih dihormati.

“Justeru, kami masih mengekalkan rumusan daripada bengkel terbabit, sebaliknya pindaan penggunaan cermin gelap pada sisi kiri dan kanan penumpang, selain bahagian belakang adalah selari piawaian antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Anthony berkata, pelaksanaan fi bagi sebarang kelulusan cermin gelap dilaksana demi menjana pendapatan negara, selain mahu menangani risiko salah laku dan gejala rasuah.

“Saya difahamkan wujud sindiket didalangi orang dalam di pejabat Menteri Pengangkutan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu yang mengambil ‘upah’ sehingga RM8,000 bagi mendapat kelulusan menggunakan cermin gelap atas faktor keselamatan,” katanya.

Katanya, berdasarkan statistik, sebanyak 17,186 permit penggunaan cermin gelap yang akan tamat tempoh, justeru pihak yang ingin memperbaharui mengikut pindaan baharu perlu membayar fi RM5,000 jika diluluskan.

Harian Metro kelmarin melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias menyifatkan peraturan baharu penggunaan cermin gelap kenderaan persendirian itu menyukarkan tugas penguatkuasaan.

Malah, beliau juga mendedahkan bahawa polis tidak dipanggil bagi membincangkan perkara berkenaan.

Anthony pada sidang media dua hari lalu mengumumkan penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had dibenarkan pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin belakang kenderaan, bermula semalam.

Kerajaan akan mengenakan fi RM50 ke atas setiap permohonan atas faktor keselamatan untuk menggunakan cermin gelap sepenuhnya bagi kenderaan persendirian dan fi RM5,000 jika diluluskan, namun tiada caj dikenakan bagi permohonan atas faktor kesihatan.

Berita berkaitan

Polis tak setuju cermin gelap

Tiada had cermin gelap [METROTV]

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 2:56pm
d