mutakhir

Bomba bantu hantar air

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PRIHATIN dengan masalah penduduk yang berdepan gangguan bekalan air, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) secara sukarela menghantar bekalan air di lokasi terjejas.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang Samsol Maarif Saibani berkata, beberapa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) menghantar bekalan air itu bermula sejak petang semalam.

“Penghantaran dilakukan selepas kita menerima maklumat ramai penduduk sudah tiada mempunyai air simpanan.

“Ia termasuk membabitkan beberapa sekolah dan agensi kerajaan yang ingin mendapatkan bekalan air.

“Tindakan ini dianggap sebagai khidmat kemanusiaan dan kami membantu Air Selangor (Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd) membekalkan bekalan air kepada penduduk yang terjejas,” katanya hari ini.

Kata Samsol, bekalan air menggunakan lori tangki dihantar ke lokasi terjejas terutama kawasan yang mempunyai tadahan besar seperti kolah, tangki simpanan dan tong besar.

“Selain itu, kita memfokuskan penghantaran bekalan air di kawasan yang memudahkan orang ramai mengambil air seperti surau dan masjid,” katanya.

Masalah bekalan air di Klang berpunca daripada paip pecah di projek pembinaan Lebuhraya WCE Banting-Taiping, Ahad lalu, yang mengakibatkan gangguan air terhadap 160,000 akaun atau hampir 800,000 pengguna di Klang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata sebanyak 44 daripada 65 kawasan di Klang sudah mula pulih sehingga 4 petang semalam.

Baki 21 kawasan yang terjejas dijangka menerima air mulai pagi ini dan gangguan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 24 jam.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 4:03pm
d