mutakhir

Padah tular gambar harimau dahan

Oleh Mohd Hilmie Hussin

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka

memburu semua individu dalam gambar bersama bangkai harimau dahan yang tular di media sosial.

Gambar berkenaan dipercayai dirakam di sebuah ladang pertanian di Kampung Kemuning, Alor Gajah, semalam.

Pengarah PERHILITAN negeri Mohd Hasdi Husin berkata, semua individu dalam gambar yang tular di laman sosial itu diminta tampil segera bagi membantu siasatan kerana haiwan terbabit

atau nama saintifiknya Neofelis Nebulosa adalah spesis dilindungi.

“Kami membuka kertas siasatan berdasarkan gambar yang tular, bukan aduan oleh mana-mana pihak.

“Satu laporan polis berhubung perkara ini sudah dibuat, selain itu pegawai penyiasat kami sudah ke lokasi dan mengambil bangkai harimau terbabit yang sudah ditanam,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua individu memegang dan memikul haiwan terbabit diminta tampil memberi keterangan sebelum pihaknya membuat tangkapan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Akta 716.

Difahamkan, pegawai PERHILITAN menggali semula bangkai harimau dahan ditanam itu8 malam tadi, sebelum menjalankan siasatan termasuk mengesan lima individu dalam gambar yang tular.

Menurut sumber, lima lelaki berusia 30-an hingga 60-an ditahan 11 pagi tadi bagi membantu siasatan jabatan terbabit.

Berdasarkan gambar yang tular di Facebook N9 Radar, terdapat beberapa individu bergambar dengan harimau dahan terbabit yang dipercayai sudah mati.

Netizen yang melihat tular terbabit memberi pelbagai komen termasuk menggesa pihak berwajib mengambil tindakan ke atas pelakunya.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 4:07pm
d