mutakhir

[UPDATE] Nur Haziqah selamat, bekerja di luar Pontian-polis

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

GADIS 20 tahun yang enam hari tidak pulang ke rumah di Kampung Tengah, Sungai Kuali, Pontian dilaporkan dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, Nur Haziqah Abdul Rahim, 20, dikatakan kini bekerja di luar daerah Pontian.

“Dia hanya menyatakan berada dalam keadaan selamat dan berkerja di luar Pontian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mustafa Bakri berkata, pegawai penyiasat sudah dapat menghubungi Nur Haziqah, namun wanita itu memberitahu dia tidak mahu diganggu untuk sementara waktu sebelum terus memutuskan panggilan telefon.

Nur Haziqah dilaporkan tidak pulang selepas keluarga menyedari kehilangannya kira-kira 6 pagi, Sabtu lalu.

Mustafa Bakri berkata, Nur Haziqah ada meninggalkan surat yang menyatakan dia mahu keluar rumah untuk bekerja dan tinggal di tempat yang selamat.

“Dia tidak mahu dihubungi untuk sementara waktu. Tiada sebarang perselisihan faham berlaku antaranya dengan ahli keluarga.

“Kakaknya yang juga pengadu serta dan ahli keluarga sudah menghubungi Nur Haziqah melalui telefon bimbitnya tetapi talian ditutup dan hanya masuk ke mesej pesanan suara.

“Sebelum kejadian, dia dikatakan beberapa kali menyuarakan hasrat untuk berkerja di luar Pontian, tetapi tidak dibenarkan oleh ibu mereka kerana bimbang keselamatannya,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan susulan) memandangkan Nur Haziqah sudah berjaya dihubungi dan berada dalam keadaan selamat.

Harian Metro hari ini melaporkan kehilangan Nur Haziqah sangat dirasai keluarganya, lebih-lebih lagi ibunya, Ngatipah Marto, 50-an, yang terlalu sedih sehingga tidak mahu menjamah makanan.

Nur Haziqah dirayu ahli keluarga untuk pulang ke rumah kerana tidak mahu kesihatan ibunya terus terjejas.

Berita berkaitan

'Pulanglah dik, kasihan mak'

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 5:26pm
d