mutakhir

Bantu segera mangsa bencana

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

AGENSI kerajaan berkaitan perlu segera membantu mangsa bencana terutama membabitkan kerosakan atau kemusnahan kediaman.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, pihak berkaitan perlu peka serta bertindak pantas.

“Seperti kejadian ribut baru-baru ini, sebuah rumah di Kampung Parit Mat Ali, Sungai Baru, Kuala Kurau, mengalami kerosakan kritikal.

“Namun difahamkan keluarga terjejas terpaksa berteduh selama seminggu dibawah rumah kosong sementara menanti proses baik pulih dilakukan.

“Kita ada banyak pihak boleh membantu dan dalam kes khas sebegini diharapkan agensi berkaitan, lebih peka serta bertindak segera,” katanya selepas melawat kediaman mangsa di Parit Buntar, hari ini.

Menurutnya, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau bertindak segera dengan membaiki bumbung dan dinding rumah dengan kos RM10,000, namun dalam tempoh baik pulih keluarga berkenaan tiada tempat berteduh.

Katanya, kerajaan negeri kini sedang dalam perbincangan bagi mengkaji semula bantuan tabung bencana disalurkan kepada mangsa-mangsa bencana di daerah kerap dilanda bencana seperti Kerian.

“Dana tabung bencana sedia ada sememangnya tidak mencukupi dan perlu dikaji semula agar setimpal dan dapat meringankan beban ditanggung mangsa,” katanya.

Sementara itu, pemilik rumah, Alias Mat Saad, 39, berkata dia bersyukur apabila kediamannya sudah dibaiki dan boleh diduduki semula hari ini.

Disiarkan pada: May 9, 2019 @ 8:19pm
d