mutakhir

Warden liwat, cabul pelajar lari ke Perak

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

WARDEN asrama yang didakwa meliwat dua pelajar tahfiz dan mencabul tiga lagi pelajar di Simpang Empat, di Kangar, dipercayai sudah melarikan diri ke Ipoh, Perak.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, suspek berusia 28 tahun yang masih belum berkahwin itu dipercayai melarikan diri sejurus laporan polis dibuat oleh seorang daripada guru pusat tahfiz itu, semalam.

Katanya, pihaknya sudah memaklumkan kes itu kepada polis Perak berhubung maklumat suspek yang berasal daripada Bandar Baharu, Kedah itu.

"Kita menerima maklumat bahawa suspek kini berada di Ipoh, Perak dan pihak kami sudah meminta bantuan polis di sana bagi memberkas suspek dalam masa yang terdekat.

"Jadi sekarang ini kita masih menunggu maklum balas polis Perak berhubung perkembangan terkini kes berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Harian Metro malam tadi melaporkan, polis sedang memburu warden pusat tahfiz yang disyaki meliwat dan mencabul lima pelajar lelaki pusat itu sejak April lalu.

Laporan mengenai kejadian itu dibuat guru pusat tahfiz berkenaan di Balai Polis Simpang Empat pada 11.25 pagi.

Berdasarkan laporan awal, suspek dipercayai meliwat dua pelajar berusia sembilan dan 15 tahun selain mencabul tiga pelajar lain berusia antara sembilan ke 12 tahun.

Berita berkaitan

Warden asrama didakwa liwat, cabul pelajar

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 10:26am
d