mutakhir

Bekalan air pulih sepenuhnya Ahad ini

Oleh Iskandar Shah Mohamed

MASALAH gangguan bekalan air di sekitar Klang akan dipulihkan sepenuhnya selewat-lewatnya pada Ahad ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, hasil pemantauan dan bacaan tekanan air pada sistem agihan hari ini mendapati sebahagian besar daripada keseluruhan 65 kawasan yang terjejas sudah kembali pulih.

“Kami mendapati bekalan air membabitkan 69 peratus daripada kawasan itu sudah pulih bermula sejak Rabu.

“Kini, kami sedang berusaha untuk memulihkan baki 31 peratus kawasan lain selewat-lewatnya pada Ahad ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya mula membuat persiapan bagi proses kerja pembaikan tiga paip utama pecah berdekatan projek Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping sejurus berlaku kejadian itu pada malam Sabtu lalu.

“Kami bersama kontraktor yang dilantik kemudian melaksanakannya secara berterusan dan pembaikan paip utama siap pada petang Selasa lalu.

“Pada waktu itu, kami menjangka pemulihan dalam tempoh 24 jam, namun berlaku kebocoran pada jajaran paip utama berkenaan sekali gus menyebabkan penutupan semula bekalan di sistem utama terpaksa dilakukan.

“Selain itu, berlaku beberapa insiden pergerakan tanah sepanjang tempoh kerja pembaikan yang turut menyumbang kepada kelewatan kerja,” katanya.

Kata Abdul Raof, memahami kesulitan pelanggan yang terjejas susulan insiden itu, pihaknya melaksanakan tindakan alternatif bagi penyaluran bekalan air melalui sistem agihan lain.

“Menerusi tindakan itu, kami dapat memulakan pemulihan bekalan air secara berperingkat dan disasarkan pulih secara keseluruhan pada 3 petang ini.

“Namun, penggunaan dan penyimpanan bekalan oleh pengguna yang pulih menyebabkan tempoh pemulihan perlu dilanjutkan dan sasaran awal tidak lagi boleh dicapai.

“Sebagai langkah jangka panjang dan memulihkan kembali sistem bekalan, kami dengan kerjasama beberapa agensi seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaksanakan kerja pemasangan dan pengalihan paip utama bermula malam tadi dan dijangka siap pada Ahad ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memohon maaf atas kesulitan dialami pengguna dan akan terus menggerakkan bantuan lori tangki dengan memfokuskan kepada kawasan yang belum pulih.

“Ia termasuk meneruskan pengoperasian empat Pusat Khidmat Setempat (PKS) di Bandar Sultan Suleiman, Bandar Parkland, Taman Sri Andalas dan Batu Belah,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 11:01am
d