mutakhir

Kera 'serang' kampung

Oleh Roselan Ab Malek

PENDUDUK Kampung Tanjong Kerayong, Mentakab hidup tidak tenteram berikutan gangguan ratusan kera yang memasuki kawasan rumah mereka sejak tahun lalu.

Mereka mendakwa haiwan haiwan liar itu sering menceroboh dan melarikan barangan dapur serta makanan malah turut mengakibatkan kerugian harta benda kerana dirosakkan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK), Shahuddin Bachik berkata, kumpulan kera itu menceroboh rumah penduduk antara 11 pagi hingga 1 tengah hari.

“Haiwan itu akan menceroboh kawasan dapur untuk cari makanan seperti telur, roti, nasi, bawang. Kera itu turut melarikan barangan rumah seperti periuk nasi, baldi dan kuali.

“Haiwan itu datang dalam kumpulan yang besar menyebabkan penduduk ketakutan dan bimbang dengan keselamatan keluarga,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, walaupun penduduk menghalau dengan membuat bising seperti membakar mercun tetapi usaha itu tidak berhasil.

Beliau berkata, aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) sudah dilakukan dan berharap tindakan efektif dapat diambil untuk menangani masalah itu.

Sementara itu, seorang penduduk, Shahidin Said, 47, berkata sekiranya keadaan itu dibiarkan berterusan kemungkinan akan ada penduduk yang cedera terutama kanak-kanak.

“Saya risau dengan keselamatan kanak-kanak sebab haiwan itu turut mengganggu di beberapa laluan utama dalam kampung,” katanya.

“Haiwan itu juga menceroboh kebun dan melarikan hasil tanaman seperti jagung, betik dan timun,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 11:07am
d