mutakhir

Keputusan matrikulasi tengah hari ini

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

BAHAGIAN Matrikulasi Kementerian Pendidikan memaklumkan, keputusan tawaran tambahan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Sesi 2019/2020 akan diumumkan mulai 12 tengah hari, hari ini.

Menerusi kenyataan ringkas dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pelajar yang sudah membuat permohonan boleh menyemak keputusan dengan melayari laman web Kementerian Pendidikan di www.moe.gov.my.

Pada 24 April lalu media melaporkan, Kabinet bersetuju supaya jumlah pengambilan pelajar untuk memasuki Program Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan tahun ini, ditingkatkan kepada 40,000 tempat berbanding 25,000 tahun lalu.

Selain itu, Kabinet sebulat suara mengekalkan kuota kemasukan dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus kepada bukan Bumiputera.

Berikutan keputusan itu, jumlah pelajar Bumiputera yang berpeluang memasuki matrikulasi pada tahun ini, meningkat daripada 22,500 kepada 36,000 orang, manakala jumlah pelajar bukan Bumiputera meningkat daripada 2,500 kepada 4,000 orang.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas isu kuota kemasukan ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 12:14pm
d