mutakhir

1,100 kayu bakau dirampas

Oleh Garret Dawum

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak merampas 1,100 batang kayu bakau bernilai RM385,000 dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Sarikei kelmarin.

Kayu bakau yang ditebang secara haram di perairan Sarikei dirampas hasil risikan anggota Unit Risik Marin PPM Sarikei serta Jabatan Hutan Sarikei.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, operasi bersama bermula 8 pagi hingga 6 petang itu dijalankan bagi membanteras aktiviti kegiatan mencuri kayu bakau di kawasan perairan Sarikei.

“Rampasan pertama dilakukan di Sungai Lobak Batu, Batang Selalang apabila pasukan menemui dua longgokan kayu bakau pelbagai saiz sebanyak 500 batang.

“Dalam serbuan kedua di Sungai Kerapu, Batang Selalang, 600 batang kayu bakau pelbagai saiz dalam lima longgokan dirampas,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua kayu bakau itu dipercayai ditebang atau diperolehi secara tidak sah kerana tiada tanda hak milik serta tanda cukai.

“Malah, kawasan terbabit adalah kawasan hutan simpan (bakau) dan kayu bakau yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarikei untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 12:26pm
d