mutakhir

Kenal pasti 'port' ponteng puasa

Oleh Mohd Amin Jalil

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengenal pasti sekurang-kurangnya 20 lokasi panas kaki ponteng puasa.

Penolong Pengarah Kanan Operasi Bahagian Penguat Kuasa JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, lokasi berkenaan membabitkan restoran, warung tepi jalan dan gerai di kawasan kilang serta pusat snuker di seluruh negeri ini.

“Kita melakukan pemantauan dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dalam usaha membanteras individu tidak berpuasa dan makan secara terbuka.

“Seramai 30 pegawai dan anggota ditugaskan memantau kegiatan itu. Setakat ini, seorang lelaki tidak berpuasa dan makan di tempat terbuka dan seorang peniaga diambil tindakan,” katanya hari ini.

Selain itu, Ahmad Zaki berkata, pihaknya turut mengesan dan memantau satu lokasi di Port Dickson yang menjadi tumpuan geng plastik hitam membeli minuman dan makanan pada siang hari.

“Memang kita menghadapi kesukaran mengambil tindakan terhadap geng plastik hitam ini kerana individu membeli makanan tidak boleh disabitkan dengan kesalahan tidak berpuasa kecuali jika mereka makan di restoran atau tempat terbuka,” katanya.

Katanya, individu yang ditahan tidak berpuasa boleh disabitkan mengikut Seksyen 114 (2) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 yang memperuntukkan hukuman denda RM500 atau tiga bulan penjara, manakala Seksyen 114 (1) enakmen sama dikenakan kepada peniaga bersubahat.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 2:25pm
d