mutakhir

Rempit bersongkok, berbaju Melayu

Oleh Hasbi Sidek

BERSONGKOK dan berbaju Melayu, kononnya mahu ke masjid untuk bertarawih tetapi sebenarnya membuat onar dengan berlumba di dua lokasi di Bandar Tasik Puteri, Rawang malam tadi.

Bagaimanapun, keseronokan kumpulan 40 remaja berkenaan merempit berakhir selepas ditahan dalam Ops Khas Bahagian Siasatan dan Penguatkasaan Trafik Daerah (BSPTD) yang bermula 9 malam.

Dalam operasi yang turut disertai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Gombak itu, sebahagian besar daripada remaja berkenaan mendakwa ibu bapa masing-masing mengetahui mereka menggunakan motosikal tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya turut menyita 11 motosikal kerana pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan dan tiada lesen memandu.

“Kami melakukan pemeriksaan terhadap 32 motosikal dan 40 individu iaitu penunggang dan pembonceng. Semua mereka tidak memakai topi keledar dan menunggang motosikal secara berbahaya.

“Saman membabitkan 21 kesalahan turut dikeluarkan membabitkan tiada lesen memandu, 10 kesalahan babitkan cukai jalan, enam kesalahan cermin sisi, 40 kerana tidak memakai topi keledar dan tujuh membabitkan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gombak untuk menjalani ujian air kencing.

Samsor berkata, ibu bapa diminta memantau pergerakan dan aktiviti anak masing-masing yang kononnya memaklumkan mahu ke surau atau masjid selain memastikan mereka mempunyai lesen sebelum membenarkan menggunakan kenderaan.

“Saya harap perkara ini tidak berulang lagi. Keselamatan perlu diberi keutamaan dengan memakai topi keledar dan menunggang dengan mengikut peraturan serta mempunyai lesen sah.

“Semua yang ditahan tidak memakai topi keledar selain sebahagian besar tidak mempunyai lesen memandu. Jika terjadi kemalangan, diri sendiri dan keluarga akan mendapat kesusahan,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 3:55pm
d