mutakhir

Lepas tujuh jam dah kantoi...

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

LELAKI ditahan polis hanya selepas tujuh jam mencuri sebuah motosikal di sebuah restoran di Sekinchan, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, siasatan awal mendapati mangsa meninggalkan motosikal Yamaha Y100 untuk minum di kawasan berkenaan kira-kira 5.30 petang.

“Kejadian itu hanya disedari mangsa sejam kemudian apabila mendapati motosikal miliknya tiada di tempatnya parkir sebelum dia membuat laporan mengenai kehilangan kenderaan terbabit.

“Bertindak atas hasil maklumat, anggota polis kemudiannya berjaya mengesan suspek berusia 31 tahun itu dan menahannya di Kampung Sungai Labu pada 12.15 tengah malam tadi bagi membantu siasatan.

“Ia membawa kepada penemuan semula motosikal mangsa bersama serangkai anak kunci yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah lampau dan hasil ujian awal saringan air kencing terhadapnya turut disahkan positif dadah.

Kata Nor Azmi, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 5:18pm
d