mutakhir

Datuk Seri bayar kompaun kepada dua RELA

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Majistret Ampang, hari ini melepaskan dan membebaskan ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang mencederakan dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dua tahun lalu, selepas bersetuju membayar kompaun.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu selepas tertuduh, Liow Soon Hee, 31, dan dua mangsa, Lee Weng Poh, 29, dan Leong Jun Jie, 23, bersetuju kes itu diselesaikan dengan cara membayar kompaun.

Tertuduh membayar kompaun sebanyak RM2,000 kepada setiap mangsa.

Terdahulu, Mohamad Firdaus memanggil kedua-dua mangsa untuk bertanya berhubung tindakan tertuduh mahu membayar kompaun itu.

MAJISTRET: Kamu bersetuju untuk menerima kompaun ini?

LIOW dan LEE: Kami bersetuju.

MAJISTRET: Ada sesiapa paksa anda untuk menerima kompaun ini?

LIOW dan LEE: Tiada.

MAJISTRET: Anda buat dengan rela hati?

LIOW dan LEE: Ya

MAJISTRET: Faham akibat terima kompaun kes ini tidak akan dijalankan?

LIOW dan LEE: Faham.

MAJISTRET: Kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes itu mengikut Seksyen 260 Kanun Acara Jenayah, oleh itu mahkamah membenarkan kompaun RM2,000 dibayar kepada setiap mangsa dan melepaskan serta membebaskan tertuduh daripada pertuduhan.

Kedua-dua mangsa berkata demikian melalui melalui jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Terdahulu, peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Liow memberitahu mahkamah bahawa tertuduh menyesal dengan perbuatannya serta mahu membayar pampasan RM2,000 kepada setiap mangsa.

Liow membayar wang itu secara tunai kepada kedua-dua mangsa dan dilihat bersalaman antara satu sama lain.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria.

Liow sebelum ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan cedera ke atas dua anggota RELA itu yang sedang bertugas di pekarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, pada 6.30 pagi, 27 Oktober 2017.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 6:43pm
d