mutakhir

Kereta masuk sawah

Oleh Nor Farhani Che Ad

EMPAT sekeluarga, termasuk dua kanak-kanak berdepan detik mencemaskan selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terhumban ke sawah di Jalan Lencongan Barat, berdekatan Sungai Layar Hujung di Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, pemandu kereta yang dikenali sebagai Sri Madzita Asmuin, 33, patah tulang rusuk kanan, manakala adik tirinya, Nurmazaitul Abdul Majid, 18, patah kaki kanan.

Dua kanak-kanak yang juga anak kepada Sri Madzita, masing-masing berusia enam dan tujuh tahun, cedera ringan di badan dan tangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner, Adzli Abu Shah berkata, ketika kejadian, kereta Honda City itu bergerak dari arah Taman Nilam menuju ke Amanjaya Mall.

“Kenderaan berkenaan dipercayai cuba mengelak daripada melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke sebelah kiri jalan lalu terhumban ke sawah.

“Ketika kejadian, jalan raya dalam keadaan basah berikutan baru lepas hujan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim bagi menerima rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 9:01pm
d