mutakhir

24 Mei, keputusan Rosmah isytihar harta

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menetapkan 24 Mei ini untuk keputusan permohonan pendakwaan supaya isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengisytiharkan harta berkaitan kes pengubahan wang haram dihadapinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak.

Pendakwaan diwakili Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Datuk Dusuki Mokhtar, manakala Rosmah diwakili Manjeet Singh Dhilon, Riza Rahim, Datuk K Kumaraendran dan N Rajivan.

Terdahulu, Manjeet berhujah bahawa Rosmah mempunyai hak untuk berdiam diri dan ia adalah tidak adil kerana diminta mengisytihar perolehan harta dan dalam masa sama dibicarakan membabitkan isu sama.

“Peruntukan undang-undang yang mengkehendaki Rosmah mengisytiharkan hartanya sebelum perbicaraan adalah tidak mengikut perlembagaan.

“Ia melanggar hak anak guam saya yang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan oleh itu beliau tidak boleh dikenakan tindakan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Sri Ram dalam hujahnya berkata berdasarkan peruntukan Seksyen 49 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA), notis itu adalah keperluan pra-perbicaraan dan ia tidak melanggar hak Rosmah untuk mempunyai perbicaraan yang adil.

“Di bawah peruntukan ini, notis boleh diberikan kepada Rosmah untuk beliau mendedahkan aset yang dimiliki apabila wujud syak munasabah bahawa terdapat aktiviti pengubahan wang haram.

“Pihak pendakwaan berhak mengeluarkan notis meminta tertuduh untuk mendedahkan semua harta dimilikinya dan sumber pembiayaan yang digunakan. Ini adalah pra-perbicaran dan perbicaraan belum bermula,” katanya.

Rosmah sebelum ini memohon untuk mengetepikan notis dikemukakan pihak pendakwaan yang mewajibkan beliau mengisytiharkan perolehan harta.

Notis itu diterima pada November tahun lalu mengikut Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Pihak pembelaan memfailkan permohonan untuk mengetepikan notis itu pada 25 Februari lalu atas alasan Rosmah tidak perlu membalas notis itu kerana sudah menghadapi pendakwaan di mahkamah.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima tuduhan gagal membuat penyata pendapatan.

Rosmah, 67, didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, tingkat bawah, 148 Jalan Ampang dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim antara 4 Disember 2013 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 9:01pm
d