mutakhir

Ugut mahu sembelih, janda ditahan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

JANDA ditahan polis selepas didakwa mengugut mahu menikam dan menyembelih dua ahli keluarganya di sebuah rumah di Kuala Besut, kelmarin.

Wanita berusia 35 tahun yang juga dipercayai seorang penagih dadah itu ditahan di rumah keluarganya itu kira-kira 2 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek sebelum ini diburu polis selepas melakukan ugutan jenayah terhadap adik lelaki dan bapanya pada 30 April lalu.

“Dalam kejadian 8.10 pagi itu, suspek dikatakan tiba-tiba mengamuk dan mengugut akan menikam serta menyembelih adik lelakinya yang berusia 33 tahun dan bapa mereka.

“Sejurus kejadian itu, suspek yang menjalani rawatan pemulihan dadah melarikan diri sebelum adik lelakinya membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut kerana bimbang keselamatan diri dan ahli keluarganya yang lain.

“Susulan laporan dibuat, gerakan memburu suspek dijalankan termasuk mengesannya di rumah tetapi wanita terbabit dilaporkan tidak pulang.

“Bagaimanapun, kita berjaya menahan suspek pada kelmarin ketika wanita terbabit pulang ke rumah keluarganya itu.

“Suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Disiarkan pada: May 10, 2019 @ 9:20pm
d