mutakhir

Dua peniaga diberi amaran

Oleh Nurul Amanina Suhaini

HANYA dua peniaga di Johor dikenakan notis amaran berikutan gagal mempamer tanda harga sejak hari pertama Ramadan hingga hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, sehingga hari ini juga pihaknya tidak menerima aduan mengenai kenaikan harga barang yang mendadak di bazar Ramadan.

“Hari ini kami mengeluarkan dua notis amaran kepada peniaga makanan kerana mereka gagal mempamerkan tanda harga.

“Sejak hari pertama Ramadan pada 7 Mei lalu hingga hari ini, hanya dua notis ini dikeluarkan.

“Buat masa ini, kami akan memberi pendidikan (educate) kepada mereka dan sekiranya tidak berkesan, tindakan susulan seperti kompaun akan dikenakan.

“Sehingga kini, sebanyak 816 premis diperiksa dan tiada tindakan kes diambil sepanjang pemeriksaan dijalankan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan pemeriksaan di tapak bazar Ramadan Angsana Mall Johor Bahru, hari ini.

Menurutnya, dengan kekuatan 200 anggota penguat kuasa, pemeriksaan premis di bazar Ramadan dipergiatkan tahun ini bagi mencegah kenaikan harga secara berlebihan.

Katanya, sekiranya ada aduan kenaikan harga dan apabila diperiksa mendapati ada peniaga yang ingkar mempamerkan tanda harga, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Pemeriksaan hari ini dilakukan di bazar Ramadan lain termasuk di Permas Jaya, Taman Perling dan Skudai.

“Kami menggerakkan anggota secara harian bagi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan kawalan harga di pasar raya serta pasar awam.

“Pengguna dinasihatkan berbelanja secara bijak dengan membuat perbandingan harga selain mengikut keperluan dan keutamaan,” katanya.

Katanya, pengguna turut disaran menyalurkan sebarang aduan kepada KPDNHEP menerusi sistem e-aduan di laman web rasmi KPDNHEP, talian bebas tol di 1-800-886-800 atau menggunakan aplikasi Whatsapp di 019-279 4317 jika ada maklumat kenaikan harga atau aduan berkaitan bazar Ramadan.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 12:17am
d