mutakhir

Ini pengorbanan untuk keluarga

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

“TIPULAH jika saya kata tidak rindukan alam persekolahan, tetapi saya anggap ini pengorbanan untuk keluarga dan berdoa saya berpeluang belajar kemahiran bagi mengubah hidup keluarga.”

Demikian luah Amelia Nabila Ilyas, 17, anak sulung pasangan suami isteri, Adila Syakur, 31, dan Ilyas Taib, 52, yang terpaksa berhenti sekolah ketika Tingkatan Dua kerana kesusahan hidup keluarganya.

“Saya tak marahkan ibu dan ayah kerana saya faham. Mereka pun bukan tidak berusaha, tetapi sentiasa berusaha di mana saja ada peluang untuk mencari pendapatan.

“Saya perlu menjaga adik kecil berusia dua dan enam tahun ketika ibu keluar bekerja, kalau tidak, bagaimana ibu mahu pergi kerja.

“Cuma saya berharap apabila adik sudah besar sikit saya dapat pergi belajar menjahit atau memasak supaya saya boleh gunakan kemahiran itu untuk cari pendapatan dan mengubah nasib keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mangkuk, Setiu.

Amelia yang memperoleh keputusan baik iaitu 2A 2B dan 1C dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berkata, bapanya melakukan pelbagai kerja buruh untuk mencari pendapatan, manakala ibunya bekerja di kedai makan berhampiran rumah dengan pendapatan RM30 sehari.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang Ramadan kedai makan berkenaan tidak beroperasi menyebabkan ibunya tiada pendapatan sekali gus mereka sekeluarga makan ala kadar untuk berbuka puasa.

Malah, Aidilfitri bagai tiada erti buat mereka dan kebanyakan persiapan seperti pakaian dan barangan makanan lazimnya daripada ihsan jiran atau penduduk setempat serta badan bukan kerajaan yang prihatin dengan nasib mereka.

Tinjauan juga mendapati, kediaman kayu milik keluarga ini usang dan tidak selamat untuk diduduki kerana struktur kayu yang sudah dimamah anai-anak, selain sokongan kayu yang sudah mereput dan bumbung bocor setiap kali hujan.

Sementara itu Adila, ibu kepada lima anak berusia dua hingga 17 tahun itu berkata, suaminya melakukan pelbagai kerja termasuk turun ke laut menangkap ikan, mengambil upah baiki rumah dan melakukan kerja buruh demi mencari pendapatan menyara keluarga.

Katanya, pendapatan tidak menentu menyebabkan kewangan keluarganya tidak stabil dan pendapatan yang ada digunakan untuk menampung perbelanjaan sekolah tiga anaknya Mohd Norhafizul Salam, 13; Mohd Noramiruddinallah, 10, dan Mohd Norsalehudin, 6.

“Sebagai ibu siapa yang tidak sedih anak terpaksa ikat perut dan makan ala kadar setiap hari. Tetapi Alhamdulillah mereka anak-anak yang baik dan tidak pernah merungut atau memberontak.

“Bayangkan mereka tidak pernah jejak bazar Ramadan kerana tak ada wang untuk berbelanja. Makan pun biasanya lauk telur goreng.

“Makan lauk daging pun setahun sekali ketika Aidiladha kerana daging mahal. Baju raya pun selalunya ada orang beri.

“Saya pernah pergi ke kedai dan minta tuan kedai buka pek beras 10 kilogram kerana hanya mampu beli untuk dua kilogram sahaja.

“Memang sedih, tapi kami reda dan hanya berserah kepada Allah SWT selepas berusaha,” katanya.

Adila berkata, walaupun hidup keluarganya susah, dia bersyukur kerana sering didatangi insan pemurah yang mahu menghulur bantuan yang dapat mengurangkan beban kewangan keluarganya terutama untuk menampung keperluan anak-anak.

“Kami berterima kasih sangat pada pihak yang sering membantu. Semoga Allah SWT saja yang membalasnya.

“Kalau difikirkan pendapatan sendiri memang tidak cukup, tapi apabila kita berusaha dan selebihnya serah pada Allah SWT, Alhamdulillah rezeki anak-anak selalu ada,” katanya sayu.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 1:31am
d