mutakhir

Kantoi cuba seludup minyak masak

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Pix Ihsan Maritim Malaysia

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat individu disyaki cuba membawa keluar barang kawalan bersubsidi melalui perairan Tanjung Batu, Tawau, 7.30 malam, Rabu lalu.

Dua lelaki dan dua perempuan termasuk seorang juragan tempatan ditahan menerusi Ops Pluto Timur.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau , Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, pemeriksaan terhadap bot kargo yang dinaiki mereka menemui 493 paket minyak masak satu kilogram disyaki cuba diseludup keluar ke Indonesia.

Katanya, suspek juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atau permit untuk membawa keluar barangan kawalan bersubsidi terbabit.

“Semua suspek berumur antara 19 hingga 47 tahun itu ditahan dan dibawa ke Jeti APMM untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai keseluruhan barang yang dirampas berjumlah RM1,235 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan di Tawau, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, pihaknya akan meningkatkan rondaan di kawasan perairan negara terutama menjelang sambutan Aidilfitri bagi mengekang kegiatan penyeludupan termasuk barang kawalan bersubsidi.

“Orang ramai juga disarankan supaya menyalurkan maklumat ataupun aduan berkaitan salah laku jenayah di kawasan perairan di daerah ini dengan menghubungi Pusat Operasi, Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999,” katanya.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 10:32am
d