mutakhir

MyEG lancar sistem potongan gaji, zakat

Oleh Faliq Lajim

MyEG Services Berhad (MyEG) melancarkan sistem potongan gaji zakat pendapatan yang memberikan kemudahan kepada orang ramai menjalankan ibadah itu.

Pengarah Eksekutifnya Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata, sistem itu akan memberikan kemudahan kepada 159,217 majikan yang berdaftar dengan MyEG bagi menguruskan pembayaran zakat pendapatan kakitangan menerusi potongan gaji bulanan.

“Sistem yang pertama di negara ini itu bertujuan memudahkan urusan majikan menguruskan proses potongan gaji zakat pendapatan mengikut syarak bagi mereka yang layak menerusi portal kami.

“Bagi menggunakan sistem ini, setiap majikan perlu mempunyai akaun jenis syarikat diportal MyEG dan ada akses kepada borang kebenaran potongan gaji zakat pendapatan.

“Jika kakitangan itu berminat, majikan mereka kemudian perlu mengemas kini maklumat pekerja di dalam sistem dan melakukan pembayaran zakat pendapatan melalui MyEG,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ihya Ramadan dan Majlis Pelancaran Sistem Potongan Gaji Zakat Pendapatan melalui MyEG di Baitus Salam, Jalan Kebun, Shah Alam petang semalam.

Turut hadir Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Raja Munir Shah berkata, sistem itu hanya boleh digunakan bagi syarikat yang belum berdaftar dengan mana-mana agensi zakat negeri dan syarikat yang tidak aktif dengan pembayaran potongan gaji zakat pendapatan kakitangan dalam tempoh dua tahun.

“Jika mana-mana majikan mahu penjelasan lebih lanjut mengenai sistem potongan gaji zakat pendapatan ini, kami dan LZS bersedia turun padang untuk menemui mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Sabirin berkata, usaha proaktif berkenaan turut dapat menyebarkan dakwah zakat kerana memberi kemudahan kepada pengeluar zakat untuk menunaikan ibadah terbabit.

“Kami berharap usaha ini dapat dilaksanakan institusi atau organisasi lain dalam menyantuni pengeluar dan penerima zakat.

“Ia secara tidak langsung menjadikan MyEG sebgai ejen penggerak kepada rukun Islam iaitu menunaikan tanggungjawab zakat,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 21 penghuni Baitus Salam yang terdiri daripada mualaf diraikan dalam majlis berbuka puasa dan turut menerima sumbangan duit raya, kain dan makanan sumbangan MyEG.

Terdahulu, MyEG bersama kakitangan Baitus Salam dan LZS bergotong-royong menyediakan bubur lambuk dan mengagihkan kepada penduduk di sekitar Jalan Kebun.

Disiarkan pada: May 11, 2019 @ 10:49am
d